Graduasi, Kebab, dan Malaysia



Alhamdulillah, ana diberi kesempatan untuk kembali menulis. Kehidupan ana buat sepanjang dua bulan yang lalu penuh dengan peristiwa-peristiwa dan aktiviti yang memenuhkan masa. Mudah-mudahan masa yang dilaburkan merupakan pelaburan yang bermanfaat, insyaAllah.

3 Disember 2012
Detik mencemaskan. Keputusan peperiksaan akhir semester 2/2012, iaitu semester akhir pengajian ana diumumkan. Alhamdulillah, lepas semuanya walaupun ada beberapa subjek yang amat merisaukan ana sepanjang semester. Memang syukur sangat.

13 Disember 2012
Hari yang dinanti. Majlis graduasi untuk School of Biology, Medicine and Environment. Sesi pagi. Berjalan kaki seawal 8.30 pagi dengan berbaju kurung putih dan membimbit beg kertas berisi baju graduasi beserta kamera menghala ke Llewellyn Hall, School of Music, ANU. Ditempatkan di kerusi C1 -- kerusi pertama, barisan paling hadapan untuk graduan.

"Chancellor, I present to you, from School of Biology, Medicine and Environment, Bachelor of Biotechnology, Syarifah Hawa binti A Latip"

Orang pertama dianugerahkan sijil pada hari tersebut, sesi tersebut, dari fakulti ana, juga orang pertama dari program ana. Memiliki nama ayah yang bermula dengan huruf 'A' sahaja ni sememangnya telah memudahkan ana sepanjang keberadaan di Australia. Bila tengok senarai nama, hanya perlu tengok bahagian atas sahaja; tak perlu bersusah payah mencari nama sendiri. 

Sesi bergambar selepas majlis graduasi dibuat bersama-sama Saida dan kak Ayu. Mereka antara insan-insan yang rapat dengan ana, banyak memberi sokongan sepanjang tiga tahun pengajian ana di Canberra. Semoga Allah membalas jasa kalian dengan sesuatu yang lebih baik lagi. 

18 Disember 2012
Dipanggil untuk bekerja di kedai 'Has Mis Kebab and Turkish Kitchen'. Rezeki Allah nak bagi ketika kepala  ana pening pasal kedudukan kewangan ana. Kehidupan 12 jam ++ sehari di kedai kebab bermula. Rancangan ikut berkumpul di rumah Sis Niken pada hari itu terpaksa ana batalkan. Namun, pengorbanan itu bukanlah sia-sia. Banyak benda ana belajar di sini. Bukan sahaja dari segi belajar menyediakan roti seperti roti pita untuk kebab, roti turki (Turkish bread), pizza, pide, dan gozleme, tetapi juga dari segi pengurusan barangan dan penyimpanan barang makanan. Banyak komen dan tunjuk ajar yang telah diberikan oleh rakan sekerja, bos, dan rakan bos ana yang sering datang berkunjung. Penat tapi seronok. Cabaran untuk mengerjakan ibadah solat ketika bekerja juga kurang kerana bos ana seorang muslim, jadi ana bebas untuk meminta waktu mengerjakan solat. Pengalaman bekerja selama 18 hari di sini sangatlah berharga bagi ana. Ia merupakan suatu pekerjaan sepenuh masa yang ana dapat dengan usaha ana sendiri, tanpa menggunakan mana-mana kenalan. Sepanjang bekerja juga ana banyak membuat refleksi bagi lebih mengenali keperibadian diri ana sendiri, bagi memudahkan urusan mencari pekerjaan di Malaysia nanti.

31 Disember 2012
11.00 malam. Ana kelam-kabut menyiapkan kerja-kerja yang diberi bos ana. Orang ramai mula memenuhi pusat bandar Canberra yang selalunya sunyi sepi. Kak Ayu menunggu ana untuk membawa ana menemaninya melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baru. Dalam kesibukan, dapat juga ana meloloskan diri dan pulang sebelum tahun 2013 menjelang. Berkumpul di London Circuit berhadapan Civic Library, ana menyertai countdown tahun baru dan menonton pertunjukan bunga api. Sebak kerana ia mungkin pertunjukan bunga api terakhir yang ana dapat lihat secara dekat. Percikan bunga api kelihatan seperti batu-batu berlian yang bergemerlipan di ruang udara. Cantik, tetapi terlintas juga di fikiran ana, "berapa banyak agaknya Carbon yang dilepaskan sepanjang tempoh pertunjukan bunga api ini?" Hilang rasa keseronokan. 

5 Januari 2013
Hari terakhir bekerja. Hari membersihkan membuang barang kesayangan dari dalam bilik. Hanya dua beg besar dan satu beg kabin yang akan dibawa pulang ke Malaysia. Diri masih dalam keadaan tidak percaya bahawa ana tidak akan pulang lagi ke negara Australia, terutamanya Canberra. Kak Ayu membuat 'surprise farewell party' pada malam itu. Ia juga bertujuan untuk menyambut ulangtahun kelahiran Saida secara awal, sementara ana masih di Canberra. Penuntut ANU yang masih belum pulang bercuti musim panas turut dijemput untuk memeriahkan majlis. 

6 Januari 2013
Ana sengaja memilih baju kurung sebagai persalinan untuk pulang ke tanah air. Suatu simbolik. Anak melayu ke negara orang, pulangnya haruslah kekal melayu juga. Sebelum pulang, dapat ana berjumpa dengan Kak Nadia, antara insan yang menyentuh hati ini ketika ana di sana. Di Sydney, bertemu dengan Kak Mel dan anak perempuannya, Kauthar. Bergenang juga air mata tatkala meninggalkan mereka. Semoga berjumpa lagi, ukhuwwah fillah. Namun, dek terlalu mengejar Malaysia, sampai tak berkesempatan bertemu dengan kak Hani, Allah takdirkan kapal terbang ke Malaysia mengalami masalah enjin dan penerbangan tertunda hampir tiga jam lamanya. 

11.50 malam. Tiba di Malaysia. Kelibat ahli keluarga tak kelihatan. KLIA pula agak kosong. Hilang arah tuju. Tiba-tiba terasa bagaikan Malaysia suatu negara asing. Pelbagai gambaran bermain di fikiran. Takut. Insecure. Walhal ini bukanlah kali pertama ana pulang setelah terbang ke Australia tetapi kali ini, ana pulang dengan fikiran bahawa ana akan terus menetap di kampung halaman ana, tanah tumpah ana, tanah air yang perlu ana sumbangkan tenaga. Seketika kemudian, kelihatan papa, abg Di, abg Pi, abg Yub, Yui dan kak Shuhada menjemput ana. Mama ana kurang sihat katanya. Tidak mengapa. Kesanggupan mereka keluar tengah malam mengambil ana sudah cukup membuat ana terharu. Ana dibawa pulang ke rumah ke-2 keluarga ana di Kajang.

9 Januari 2013
Kajang. Menyertai rombongan jaulah akhawat ke pejabat pemasaran Aman Palestin, seterusnya ke Seremban berjumpa tokoh-tokoh akhawat ISMA di sana. Bermalam bersama akhawat. Keluar setelah hanya tiga malam bersama ibunda. Maafkan anakanda. Akhawat juga adalah keluarga yang ana kasihi dan rindui. Keesokan harinya ana terus pulang ke Kajang.

12 Januari 2013
Sertai Jalinan Ukhuwwah di Lembah Azwen Resort. Mendapat pencerahan yang mantap mengenai pelbagai isu yang melanda umat islam di Malaysia. Rasanya kurang lah sikit kejahilan ana tentang isu semasa di Malaysia. Duduk di Australia, sibuk fikir masalah sendiri, masalah umat dilupakan. Untung ana sertai program sejurus tiba di Malaysia. Basahkan kembali iman yang dah turun banyak, buat bekalan tarbiyyah dzatiyyah ketika duduk bersama keluarga. Program berlansung sehingga 13 Januari.

13 Januari 2013
Bergerak ke Bangi. Latihan lakonan teater Ibu Partiwi, untuk dipersembahkan di Festival Beliawanis Nasional (FBN) yang bakal berlangsung di UIAM Gombak, 19 Januari 2013. Menginap selama dua malam di sini, demi mengikuti program daurah yang dibuat di pejabat ISMA DHL pada 14 dan 15 Januari.

16 Januari 2013
Akhirnya pulang ke Ulu Yam Bharu. Singgah di Pinggiran Gombak membeli durian. Dapatlah ana makan makanan favourite ana. Dua malam satu hari sahaja dapat diluangkan di sini. Cukup sekadar untuk ana membongkar almari demi mencari pakaian yang bersesuaian untuk persembahan teater. Papa ana juga ingin keluar pulang ke kampung pakcik ana di Mersing. Rumah jadi kosong. Sedih mengenang nasib kucing ana yang ana hampir-hampir sahaja tidak cam, memandangkan ia sudah besar. 

18 Januari 2013
Sri Gombak. Dapat berjumpa kak Sal dan Zafirah. Antara insan-insan yang bermakna dalam diri ini. Latihan teater di UIAM Gombak. Tidak sangka dapat berjumpa kak Amalina, akhawat pertama yang menyambut diri ini di Canberra Airport pada 8 Januari 2010.

19 Januari 2013
FBN. Hanya dapat datang ke lokasi pada jam 5 petang, bersama-sama kumpulan teater. Masa dihabiskan untuk berlatih teater. Semoga persembahan tersebut dapat menyentuh hati semua yang menonton dan diambil pengajarannya.

20 Januari 2013
Sesi usrah yang pertama di Malaysia. Gembira dapat bersama akhawat yang dikenali ketika di Melbourne, kak Zahra. Bertempat di Fasa 7, Sri Gombak. Oh, sangat menggamit memori bersama rakan-rakan Hillcrest. Rumah mak usrah hanyalah di barisan belakang rumah Aishah MJ, berdekatan simpang ke rumah Dayah Chibi. Semoga mereka sihat-sihat belaka, walau di mana mereka berada.
Ana mula pening-pening. Mama, yui dan abg Yub ambil ana di rumah kak Zahra untuk dibawa pulang ke Kajang.

21 Januari 2013
Hari ini. Ana dah sah demam selesema. Esok ada usrah lagi. Confirm tak boleh keluar kalau tak kebah juga.  Benarla, muslim itu perlu sihat tubuh badannya. Bila tak sihat, cemana nak menjalankan tanggungjawabnya, kan?


Kuiz takde hadiah:  Berapa malamkah yang ana luangkan masa bersama keluarga sejak pulang ke Malaysia? 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan kanser tiroid

Pusing-pusing Klinik Pakar Hospital Selayang (beserta Panduan dan Tips)

Tips persediaan ke HKL untuk kemasukan wad Radio iodin