Perancangan 5 tahun

"Apa yang akan saya lakukan dalam linkungan lima tahun yang akan datang?"

Itulah tugasan yang diberikan oleh naqibah ana sebagai permulaan usrah minggu lepas. Ana terkesima sebentar. Beberapa minggu sebelumnya ada seorang akhawat yang bercerita pengalaman temuduganya dan dia disoal, "Bagaimana anda lihat diri anda pada 5 tahun akan datang?". Tidak pula ana sangka persoalan yang lebih kurang sama akan dijadikan tugasan di dalam usrah ana.

Secara jujurnya, ana tidak dapat lihat diri ana pada masa akan datang. Malah, perancangan seperti ini tidak pernah ana lakukan, terutamanya apabila ia melibatkan perancangan secara teliti untuk setiap tindakan besar yang ingin diambil. Ana fikir, jika ana disoal pertanyaan yang sama ketika ana di bangku sekolah, pasti ana mudah menjawabnya. "8A PMR, 10A SPM, pergi tuisyen, jadi pengerusi kelab itu, persatuan ini etc." Tetapi malangnya, ana kini di persimpangan kehidupan antara belajar dan bekerja dan ana mengalami masalah tidak tahu arah tujuan hidup yang ingin ana lalui.

Sedih; ana mungkin seorang yang mudah berfikiran positif, tetapi ana bukanlah seorang yang berwawasan! Tersentak. Kini baru ana sedar kenyataan ini. Selama ini ana hanya mengikut arus kehidupan yang telah ditetapkan orang lain. APA YANG ANA INGINKAN SEBENARNYA?

Berbalik kepada tugasan ana, dalam jangka masa lebih kurang 15 minit, ana berjaya juga menzahirkan beberapa keinginan yang ingin ana realisasikan dalam masa 5 tahun akan datang. Namun, apabila dianalisa, sekali lagi ana tersentak. Ana hanya dapat lihat keinginan material dan perjalanan dunia, tiada pula sebarang perancangan dalam jalan dakwah dan tarbiyah dalam menuju Allah. Malu dengan diri sendiri. Bertambah-tambah malunya untuk mengukirnya di blog ini, tapi biarlah ia menjadi pedoman buat si pembaca yang budiman.

Sungguh, berkali-kali ana fikirkan. Mengapa semua ini berlaku? Pelbagai jawapan bermain di fikiran tetapi semuanya hanyalah ALASAN untuk lari daripada kenyataan dan menenangkan hati yang dalam kesedihan. Tidakkah wujud sekelumit pun keinginan untuk bergerak kerja dengan lebih giat lagi dalam mengembangkan agama Allah ini? Jika wujud, mampukah ia mengatasi keinginan-keinginan duniawi yang lain?

Menangis. Diri ini tidak mampu untuk menyangkal bahawa masih banyak kudis-kudis jahiliyah yang menutupi dan mendahului segala pergerakan diri ini. Berapa kuatkah iltizam untuk mendekatkan diri kepada Ilahi? atau diri ini hanya mampu tersungkur dan terus rebah; menunduk pada nafsu yang melampaui batas? Apa gunanya berair mata darah jika tidak mampu selangkah pun menentang nafsu dan bisikan-bisikan syaitan yang menyesatkan?

Ana tidak mampu berkata apa-apa untuk menidakkan kenyataan yang menzahirkan kekotoran dalam jiwa ini. Sungguh, ana bagaikan bayi tak bergigi yang masih belajar untuk duduk di atas pinggul sendiri. Mampukah ana merangkak, bertatih dan terus berlari untuk agama ini?

Nafas yang panjang. Nikmat sungguh ciptaan Ilahi. Angin yang tak terlihat memberi pengharapan untuk kehidupan ini. Namun, masih wujudkah umur yang panjang untuk terus menikmati ciptaan-Nya, bahkan untuk terus berjuang menegakkan panji-panji islami?

Buntu lagi. Apa yang ingin ana kecapi dalam lima tahun ini? Jika benar ingin membantu agama ini, apakah langkahnya yang harus kulakukan di sini? di tanah yang dirasakan bagai baru sahaja kujejaki?

--------------------

Sungguh lancar lidah menyusun bicara;
Namun, gagahkah otot untuk terus mara?
atau, adakah kata hanya tinggal kata,
badan longlai tidak bermaya?

Jika benar semangat tersemat di dada,
tunjukkanlah, biar menjadi bukti di akhirat sana!

Lima tahun sekejap sahaja,
tak dirancang, dipancungnya pula.

Biarlah langkah sebesar zarah
Moga menjadi benih yang subur
Biar badan terguris berdarah
Jangan sampai kebenaran terkubur

Agama Allah pasti terbela
Jika semua memain peranan
Cukupkah anda melihat sahaja?
Ayuh, jadilah insan sebenar insan!

------------------

SS* : mimpi pasal soal jawab thaghut dengan seorang hamba Allah yang tidak ana kenali telah mengejutkan ana dari lena subuh tadi. Ana sering bermimpi yang pelik-pelik especially kalau dah masuk waktu subuh. Alhamdulillah, terasa disayangi dan dilindungi. Allah ingin diri ini bangun dan tidak terlepas daripada menunaikan ibadat kepadanya.

*SS=Side Story

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan kanser tiroid

Pusing-pusing Klinik Pakar Hospital Selayang (beserta Panduan dan Tips)

Tips persediaan ke HKL untuk kemasukan wad Radio iodin