Perjalanan penyembuhan

Alhamdulillah, sewaktu bertemu janji dengan doktor onkologi di Hospital Kuala Lumpur pada 14 Januari yang lalu, doktor memberitahu bahawa bacaan Tiroglobulin(Tg) sebelum rawatan RAI yang pertama adalah 13 sahaja. Jadi, doktor sangat positif bahawa selepas RAI yang lalu, bacaan Tg aku sepatutnya sudah berkurangan.

Namun begitu, doktor tetap menjadualkan aku untuk sesi RAI yang ke-2, dengan dos yang lebih rendah, untuk menjalankan ujian diagnostik bagi perkembangan kanser. Menurutnya lagi, sesi diagnostik ini perlu diulang sekurang-kurangnya 2 kali lagi untuk memastikan bahawa kesemua sel tiroid yang berbaki sudah berjaya dihapuskan sepenuhnya.

Mata mula bersinar-sinar bila doktor memberikan pengharapan sebegitu. Hati juga gembira sebab untuk sesi diagnostik RAI, aku tidak perlu daftar masuk ke hospital. Sebaliknya, aku boleh pulang ke rumah dan berkuarantin sendirian.

Mengambil ilham daripada makcik yang aku temui ketika sesi rawatan RAI yang lepas, aku nekad mengambil peluang ini untuk bercuti di satu kawasan terpencil. Almaklumlah, aku sekarang tinggal di rumah kongsi, jadi nak kuarantin sendirian tu agak mencabarlah juga.

Mengenai keadaan diri sendiri... aku dapati keadaan kesihatanku bagai sudah kembali kepada sedia kala. Oleh sebab itu, pada minggu lepas aku cuba untuk kembali ke rutin yang gila seperti mana sebelum ini. Selain kerja sepenuh masa dari hari Isnin ke Jumaat, malam-malamku dipenuhi dengan aktiviti lain di luar rumah. Hujung minggu Sabtu dan Ahad pun aku berjalan ke sana-sini.

Walau bagaimanapun, nampaknya badan masih tidak sekuat mana. Semalam badan sangat letih, sehinggakan nak bangun solat pun memerlukan keazaman yang tinggi. Risau! Bukan apa, mulai Februari akan datang, aku berniat untuk menyambung khidmat home tuition kembali. Sekarang pun dah mula daftar sebagai ejen Takaful Ikhlas. Maka, sudah tentu lebih banyak komitmen masa dan tenaga perlu dicurahkan.

Mungkin perjalanan kehidupanku yang bagaikan terlalu banyak dengan aktiviti keduniaan sampai ke penglihatan salah seorang doktor yang merawatku (yes, saya kenal dengan doktor yang merawat saya melalui aktiviti-aktiviti Isma), sehinggakan dia berpesan agar aku "Zuhud sikit". Memang sentap tetapi aku yakin dengan keputusan yang aku lakukan. Jadi tutor home tuition bukanlah kerana duit semata-mata. Jadi ejen takaful pun bukan untuk duit sahaja. Tidak dinafikan, duit adalah imbalan tetapi amal jariah dan membantu orang lain itu adalah matlamat utama.

Kesihatanku menunjukkan peningkatan, tetapi tiada siapa yang boleh menjamin nasibku di masa hadapan. Walaupun penghidap penyakit kanser tiroid papillari memiliki kadar prognosis yang baik dan survival yang tinggi, namun kadar untuk mendapat kembali penyakit tersebut akan bertambah seiring dengan usia.

Sebab itulah agaknya Allah rahsiakan tarikh kematian kita. Supaya kita rasa bila-bila pun boleh mati, jadi buat apa-apa pun sentiasa all-out dan bersungguh-sungguh. Kejar sahaja pahala, selagi mana badan mampu.

Sekian sahaja bebelan kali ini.

Kfine.

Salam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan kanser tiroid

Pusing-pusing Klinik Pakar Hospital Selayang (beserta Panduan dan Tips)

Tips persediaan ke HKL untuk kemasukan wad Radio iodin