Di antara dua alam?

Sejuk... Seluruh tubuhku kesejukan. Kucuba untuk mengiring ke kanan dan ke kiri. Gagal..

Tiba-tiba bahang haba dirasai dari tempat pembaringanku. 

لا اله الا الله، محمد رسول الله

Berulang kali kalimah thayyibah syahadah itu diungkapkan. Tidak jelas di bibir, namun jelas di hatiku. 

'Sekiranya ini penghujung hayatku, biarlah is berakhir dengan penyaksianku itu.' bisik hati kecilku. 

Fikiranku samar-samar. Pandanganku kabur. Aku tidak mampu mengingati di manakah keberadaanku ketika itu. 

Kepala ditoleh ke kiri ke kanan. 

Seluruh badan rimas tidak selesa terbaring di atas tilam berbalut kulit sentetik yang melekap di kulit belakang badanku. 

Namun tiada satu pun anggota yang dapat kugerakkan selain kepalaku. 

Dalam kesukaran, terbit kata-kata "Sakit.... Sakit...." Air mataku bergenang menahan kesakitan.

Kedengaran suara balas, "Sakit di mana?" 

"Ta... ngan..." Aku hanya menjawab lemah, sambil menoleh kepala ke kiri. Memberi signal tangan kiriku yang sakit.

Ya, ingatanku kembali jelas. Aku baru sedar daripada prosedur hysterescopy. Di tangan kiriku itu ialah tempat jarum branula yang dibenamkan untuk transfusi darah dan air. 

"Syarifah, sakit lagi ke? Sekejap lagi hilang, ya. Kita terpaksa masukkan darah lagi. Tadi banyak darah tumpah sewaktu prosedur." Suara bagaikan suara doktor pakar yang mengendalikan kes diriku.

Kemudian, terlihat melihat seseorang mencucuk sesuatu ke jarum branula, sebelum kesakitanku mula hilang dan aku kembali menjadi tidak sedar. 

#####

Itulah antara detik ketika diriku mula sedar sebaik sahaja kesan bius sepenuh badan (general anesthesia) mula hilang.
Ini bukanlah kali pertama. Malah, kali ketiga aku mendapat bius seluruh badan seperti itu. Tidak aku sangka, moment kali ini sangat mengesani hati. 

Bagaikan orang yang diberi peluang untuk hidup kembali. Bagaikan itu saat kematian. 

Sunyi. Aku bersendiri menempuhi kesakitan dan ketakutan itu. 

Tiada suami ataupun yang tersayang di sisi. Hanyalah bayangan-bayangan yang tidak dikenali mahupun diketahui identitinya. 

Itulah hakikat yang perlu diakui. Kita semua akhirnya, hanyalah entiti yang bakal berdiri sendiri, menghadap Ilahi. 

Pada akhir hayat nanti, mungkin pelbagai godaan dan bayangan iblis yang perlu dilalui. Pada ketika itu, mampukah kita mengatasinya dan memilih petunjuk Ilahi? 

Sebab itu, ada kata-kata menyatakan, penyakit menghidupkan hati.  Ia membuatkan seseorang itu mengingati mati. Hanya dengan mengingati mati, seseorang itu mampu membuat yang terbaik dalam kehidupannya demi kehidupan akhirat yang kekal abadi. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan kanser tiroid

Pusing-pusing Klinik Pakar Hospital Selayang (beserta Panduan dan Tips)

Tips persediaan ke HKL untuk kemasukan wad Radio iodin