Selamatkah bagi sebagai pejuang kanser tiroid untuk hamil?

Lumrah sebagai wanita yang sudah berpasangan, pastinya mengimpikan zuriat dan keturunan sendiri, tidak kiralah kondisi sendiri dalam keadaan berjuang dengan penyakit kanser tiroid mahupun penyakit kronik yang lain.

Sepanjang usia hampir 5 tahun usia perkahwinan dan hampir 7 tahun sebagai pejuang kanser tiroid, saya telah pun tempuhi beberapa fasa mengandung, keguguran, bersalin, berpantang dan menyusukan anak kecil, alhamdulillah.

Sebagai seorang pejuang kanser tiroid, terdapat beberapa perkara yang perlu dititik beratkan sebelum merancang untuk hamil 


1. Lengkapkan sesi rawatan radioactive iodine (RAI) ataupun sesi radiasi dan kuarantin terlebih dahulu. 

Radiasi daripada rawatan RAI boleh menyebabkan kecacatan pada janin, meningkatkan risiko keguguran dan mencemarkan susu badan ibu.

Sekiranya anda merancang untuk hamil, dapatkan pengesahan doktor bahawa anda tidak perlu lagi ulangi rawatan tersebut dalam masa satu atau dua tahun yang akan datang.


2. Jarakkan kandungan dari sesi RAI terakhir anda.

Untuk keselamatan, jarakkan RAI terakhir anda dengan implantasi sekurang-kurangnya 6 bulan. 

Sisa radiasi RAI boleh mengambil masa yang panjang untuk keluar dari sel tubuh badan. 


3. Pastikan hormon tiroid anda stabil.

Tak suka kena makan ubat gantian tiriod anda secara harian? Suka skip ubat? Habit buruk tersebut hendaklah dihentikan.

Pastikan anda makan ubat mengikut dos yang ditentukan dan bacaan hormon tiroid anda kekal cantik di julat normal. 

Rujuk pakar endokrin anda, ya 😄


4. Supplemen, vitamin tambahan dan pemakanan

Sedangkan wanita sihat pun memerlukan nutrien mencukupi untuk kekal cergas dan sihat, apatah lagi sebagai pejuang kanser tiroid.

Makan makanan berkhasiat dan cukup zat, diet suku-suku separuh, kurangkan gula dalam air mahupun makanan.

Amalkan folic acid seawal mungkin dari tempoh anda merancang untuk hamil.

Ada kemampuan extra? Saya sarankan amalkan multivitamin atau sekurang-kurangnya Vitamin C dan kalsium untuk memastikan cukup nutrisi. Maklumlah, diet orang Malaysia secara umumnya tak sihat. 

Of course, optional sahaja dan mestilah yang ada pengesahan KKM sebagai supplemen - nombor pendaftaran MALxxxxxxx dan bukannya NOTxxxxxxxx, ya.


5. Dapatkan nasihat pakar O&G

Sekiranya bacaan tiroid anda sudah stabil tetapi anda masih mengalami haid yang tidak teratur, saya sarankan agar anda dapatkan nasihat daripada pakar sakit puan (O&G).

Penyakit tiroid sering dikaitkan dengan PCOS yang bakal menyukarkan anda untuk hamil. 

Jangan tunggu sehingga anda berhadapan dengan komplikasi mahupun keguguran.


Cukuplah 5 langkah utama di atas sebagai persediaan untuk hamil bagi pejuang kanser tiroid. InsyaAllah selamat untuk pesakit seperti kita untuk hamil jika dah tak perlu lalui RAI dan tiada komplikasi penyakit lain.



Hawa A Latip,
Yang suka membantu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Aku dan kanser tiroid

Pusing-pusing Klinik Pakar Hospital Selayang (beserta Panduan dan Tips)

Tips persediaan ke HKL untuk kemasukan wad Radio iodin